Pages

~ my nuff ~

Thursday, April 5, 2012

Awas si comel

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my
2012/04/05

 
pix_gal0

Najis haiwan peliharaan seperti kucing boleh sebar parasit ancam wanita, kandunganHAIWAN jinak seperti kucing sememangnya kerap dijadikan pilihan untuk dibela di rumah. Tetapi sekiranya anda sedang hamil, mungkin anda ingin mengehadkan masa bersama dengan haiwan peliharaan khususnya dari segi pengendaliannya najisnya. Ini kerana ia berkemungkinan boleh mendatangkan ancaman protozoa toxoplasma yang boleh memberi kesan kepada kandungan termasuk dilahirkan cacat kerana protozoa berkenaan boleh membiak di dalam tubuh manusia sekali gus membiak pada bahagian otak dan buah pinggang manusia.

Perlu diambil perhatian bahawa toxoplasmosis juga boleh menjangkiti wanita melalui pengendalian daging mentah seperti daging lembu atau kambing yang mengandungi cyst toxoplasma.

Pakar Obstetrik & Ginekologi, Pusat Perubatan Hospital Kebangsaan Malaysia, Dr Aqmar Suraya Sulaiman, berkata protozoa Toxoplasma dikaitkan dengan haiwan berbulu, berdarah panas tetapi paling banyak di kalangan kucing.

Katanya ramai wanita dijangkiti oleh protozoa Toxoplasma tapi tidak menyedari hakikat ini kerana ia tidak memberikan tanda ketara.

“Isu yang paling dikhuatiri ialah apabila jangkitan protozoa itu dialami buat kali pertama ketika mengandung. Ramai ibu yang sedang hamil tidak mengetahui bahaya virus berkenaan kerana ia tidak mendatangkan ‘petanda’ luar biasa seperti sesak nafas atau demam tinggi.
“Sebaliknya ibu yang dijangkiti akan mendapat demam serta selsema biasa hingga selalu dianggap ‘keadaan biasa’ oleh ibu hamil dan doktor yang merawatnya,” katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan haiwan ternakan memberikan risiko tertentu kepada wanita hamil.

Justeru bagaimana ia tersebar? Kata Dr Aqmar, proses penyebaran boleh berlaku berpunca daripada najis haiwan peliharaan yang menyebabkan Toxoplasmosis atau dalam dunia perubatan digelar jangkitan yang disebabkan oleh parasit toxoplasma yang menyerang jaringan saraf manusia.

“Seorang wanita yang dijangkiti sama ada sebelum atau semasa hamil, boleh menjangkiti bayi yang dikandung. Apatah lagi sekiranya seseorang wanita itu mempunyai kekurangan imun yang rendah. Risiko atau gejala dihadapi mungkin lebih teruk.

“Toxoplasmosis kongenital adalah satu bentuk khas yang mana kandungan dijangkiti melalui plasenta. Jika seorang wanita menerima pendedahan pertama kepada Toxoplasmosis ketika mengandung, bayi berisiko tertentu. Risiko bayi termasuk meninggal dalam kandungan, buta mata dan kecacatan otak termasuk ‘retardasi mental’. “Toxoplasmosis adalah jangkitan yang disebabkan oleh parasit satu sel yang digelar toxoplasma gondii,” katanya.

Tegasnya, jangkitan paling biasa diperolehi menerusi sentuhan dengan kucing serta najis mereka. Toxoplasma juga boleh dijangkiti apabila wanita mengendalikan daging lembu, kambing, babi mentah atau separuh masak.

Dr Aqmar berkata, secara spesifik kes wanita dijangkiti virus berkenaan sememangnya tidak diketahui kerana tiada kajian mendalam dilakukan mengenainya di negara ini.

“Bagaimanapun Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat menganggarkan bahawa ada lebih daripada 60 juta orang di negara itu boleh membawa parasit toxoplasma, tetapi amat sedikit mempunyai gejala kerana sistem imun sihat. Mereka inilah biasanya mampu ‘menyimpan’ parasit daripada menyebabkan penyakit,” katanya.

Ini kerana ia tidak menunjukkan tanda ketara kepada pesakit. Sebaliknya gejala biasa toxoplasmosis termasuklah selsema, bengkak limfa selain sakit otot berpanjangan, yang disangka sebagai perubahan biasa berlaku kalangan wanita hamil.

“Bagaimanapun bagi individu yang mempunyai sistem imun normal, masalah itu mungkin dihadapi tidak lama, tetapi sekiranya individu mempunyai sistem imun yang rendah mereka lebih berisiko berhadapan masalah lebih serius seperti disebutkan tadi.

“Individu dimaksudkan termasuklah mereka yang menjalani rawatan kemoterapi, penghidap HIV/AIDS atau lain-lain gangguan imun, serta penerima pemindahan organ. Bagi individu seperti ini, jangkitan yang berlaku bila-bila masa semasa hidup boleh mengaktifkan semula dan menyebabkan gejala teruk Toxoplasmosis seperti kerosakan mata, otak, atau organ-organ lain. Di mana Toxoplasmosis okular boleh merosakkan mata, menyebabkan penglihatan berkurangan, kabur penglihatan, sakit mata hingga membawa kepada mata berair.

“Sebagai peringatan kepada wanita khususnya yang sedang hamil, dan berusaha untuk hamil, hadkan masa bersama haiwan atau pengurusan najis haiwan itu boleh dilakukan oleh suami atau orang lain.

Dengan cara ini dapat mengelakkan risiko jangkitan kali pertama ketika hamil. Lebih utama ia dapat mengurangkan risiko bayi menghidapi congenital toxoplasmosis,” katanya.

INFO: Toxoplasmosis

  • Penyakit yang disebabkan oleh parasit.
  • Toxo didapati menerusi sentuhan dengan haiwan peliharaan termasuk sekiranya terkena najisnya.
  • Toxo ini juga diperolehi daripada makan atau menyentuh daging mentah atau sebahagiannya dimasak.

    Faktor jangkitan:
  • Menyentuh tangan anda ke dalam mulut anda selepas berkebun, membersihkan kotak sampah kucing, atau apa-apa yang datang ke dalam kenalan dengan najis kucing.
  • Makan daging mentah atau sebahagiannya dimasak, terutamanya daging babi, kambing, atau daging rusa yang sudah dijangkiti protozoa Toxoplasma.
  • Menggunakan perkakas atau papan pemotong yang belum dibersihkan dengan sepatutnya selepas mereka telah bersentuhan dengan daging mentah.
  • Menyentuh tangan anda ke dalam mulut anda selepas bersentuhan dengan daging mentah atau kurang.
  • Pemindahan organ atau pendermaan darah (tetapi ini jarang)

    Punca:
  • Hubungan langsung dengan kucing atau najis kucing.
  • Makan daging mentah atau separuh masak.
  • Minum susu mentah dari kambing yang dijangkiti (Kambing boleh menjadi tuan rumah perantaraan untuk parasit.
  • Pemindahan organ atau pemindahan darah daripada orang yang dijangkiti.

  • Nota :
    Ibu yang dijangkiti akan mendapat demam serta selesema biasa hingga dan dianggap ‘keadaan biasa’ oleh ibu hamil dan doktor yang merawatnya. - Dr Aqmar Suraya Sulaiman, PakarObstetrik & Ginekologi, Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia -->

    0 comments:

    Post a Comment

    aziesizhuka. Powered by Blogger.